Sunday 10 March 2013

Program Head Start ♥

Posted by Unknown at 16:14
Program Head Start adalah satu program yang diperkenalkan pada tahun 1964 di Amerika di bawah Head Start Bureau dan disokong oleh Administration for Children and Families dan dinaungi oleh U.S. Department of Health and Human Services. Tujuan program ini diperkenalkan untuk membantu kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah sebelum memasuki sekolah. Program ini meliputi kanak-kanak peringkat bayi , tatih dan prasekolah iaitu bagi kanak-kanak berumur antara 4-5 tahun
Komponen Head Start
Matlamat program Head Start ialah untuk membantu membasmi kemiskinan dengan memberi pendidikan kepada kanak-kanak dan keluarga menerusi program komprehensif yang dapat membantu keperluan mereka. Komponen utama Head Start adalah seperti berikut:
  • Pendidikan (fokus pada intelektual, sosial dan perkembangan emosi);
  • Kesihatan (termasuk imunisasi dan perubatan, pergigian, mental dan perkhidmatan pemakanan);
  • Penglibatan ibu bapa; dan
  • Perkhidmatan sosial (kekerapan hubungan dengan komuniti dan rujukan serta bantuan kecemasan dan penyelesaian masalah.
Program Head Start memerlukan pengurusan dan pentadbiran yang cekap. Program ni melibatkan semua peringkat kanak-kanak, guru, institusi, keluarga, komuniti dan organisasi pentadbiran yang melibatkan agensi kerajaan dan badan sukarela. Walau bagaimanapun program ini telah diberi penambahbaikan dengan menekankan empat aspek berikut:
  • Hasil akademik;
  • Kecekapan guru dan perkembangan profesional;
  • Kolarborasi dengan program lain dan sekolah kerajaan; dan
  • Bertanggungjawab untuk perkhidmatan.
Matlamat Penubuhan Program Head Start
Head Start adalah sebuah program yang diasaskan sebuah organisasi yang terancang di bawah naungan kerajaan. Program Head Start lebih kepada perkhidmatan sosial yang menyeluruh Program Head Start mempunyai matlamat iaitu memberi tumpuan kepada menyelesaikan kemiskinan menerusi pendidikan. Begitu juga dengan program Head Start yang cuba menyelesaikan kemiskinan secara menyeluruh. Program ini percaya kemiskinan boleh diatasi dengan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak golongan yang tidak berkemampuan. Teori perkembangan atau behavioris menjadi teras kepada program ini yang melihat pemeringkatan pembelajaran mengikut tahap umur. Hasilnya terbukti kanak-kanak yang mengikuti program Head start telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam akademiknya apabila kanak-kanak ini ke sekolah.
Asas falsafah dan matlamat Program Head Start ialah untuk menyediakan pengalaman untuk membantu kanak-kanak memasuki alam kehidupan masyarakat dengan lebih kejayaan. Pengalaman tersebut termasuklah penyusunan perkhidmatan dari peringkat awal, memberi pendidikan awal kanak-kanak, kesihatan dan pergigian, pemakanan dan pendidikan keibubapaan. Program Head Start lebih kepada memperkayakan pengalaman kanak-kanak ke arah perkembangan kanak-kanak. Penekanannya adalah meliputi semua aspek perkembangan kanak-kanak. Guru menyediakan aktiviti dan peralatan yang dipilih untuk menekankan pembelajaran pengalaman konkrit kepada kanak-kanak seperti berikut:
  • Memupuk konsep kendiri yang positif, deria kecekapan dan perasaan positif terhadap pembelajaran;
  • Menggalakkan kanak-kanak berfikir, alasan, penyoalan dan mencuba jaya (eksperimen);
  • Menggalakkan perkembangan bahasa;
  • Memupuk kemahiran dan perkembangan fizikal;
  • Menggalakkan dan menunjukcara tentang kesihatan, keselamatan dan amalan pemakanan;
  • Menggalakkan ekspresi kreatif dan apresiasi seni; dan
  • Menghormati kepelbagaian budaya guru dan kanak-kanak.
Program Head Start Di Malaysia
Program Head Start menjadi model rujukan program pendidikan awal kanak-kanak Malaysia iaitu KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara dan Prasekolah Annex. KEMAS menubuhkan kelas tadikan pada tahun 1970-an bertujuan untuk memberi peluang pendidikan awal kepada kanak-kanak di luar bandar. Jabatan Perpaduan Negara menubuhkan kelas tadika untuk memberi peluang kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan yang tinggal di bandar-bandar. Manakala matlamat penubuhan kelas prasekolah annex adalah untuk memberi peluang yang sama kepada kanak-kanak daripada golongan yang tidak berkemampuan di luar bandar dan di bandar. Walau bagaimana pun program prasekolah di Malaysia telah disesuaikan dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara disamping memenuhi keperluan perkembangan kanak-kanak.
Program Head Start kurikulumnya berdasarkan ketetapan National Association for the Education of Young Children. Amalan yang bersesuaian digunakan sebagai asas pembentukan kurikulum Head Start. Panduan pembentukan kurikulum adalah seperti berikut:
  • Amalan kurikulum yang bersesuaian dibentuk untuk membina pengetahuan kanak-kanak dan kemahiran dalam setiap aspek perkembangan iaitu fizikal, emosional, sosial dan intelektual dan dapat membantu kanak-kanak belajar cara belajar menerusi pendekatan integrasi (bersepadu) atau merentasi kurikulum;
  • Perancangan kurikulum menekankan pembelajaran sebagai proses interaktif menerusi penerokaan aktif dan interaksi bersama orang dewasa, kanak-kanak dan peralatan;
  • Aktiviti pembelajaran dan bahan hendaklah daripada yang konkrit, boleh dilihat (jitu) dan bersesuaian dengan kehidupan kanak-kanak merupakan kunci untuk mendorong kepada pembelajaran yang bermakna di peringkat kindergarten dan sekolah rendah. (Program Head Start untuk kanak-kanak berusia antara 3 – 5 tahun dan Kindergarten umur 6 tahun di sekolah rendah). Buku kerja, buku mewarna dan model lukisan dan kraf yang dihasilkan oleh orang dewasa tidak bersesuaian untuk kanak-kanak;
  • Program menyediakan peluang yang luas terhadap minat perkembangan dan keupayaan bukan daripada urutan kumpulan umur. Pembentukan kurikulum menggunakan aras keupayaan, perkembangan dan gaya pembelajaran yang dijangkakan;
  • Guru menyediakan pelbagai aktiviti dan peralatan; guru meningkatkan tahap kesukaran, kerumitan dan cabaran pada aktiviti semasa kanak-kanak terlibat dan dengan cara itu kanak-kanak membina kemahiran dan kefahamannya; dan
  • Aktiviti luar dirancang setiap hari supaya kanak-kanak boleh membina kemahiran motor kasar, belajar tentang persekitaran dan menyatakan secara bebas.
Pendekatan pengajaran guru mengikut pendekatan Head Start seperti yang dinyatakan oleh Child Development adalah seperti berikut::
  • Memantapkan dan mengekalkan keselamatan dan persekitaran pembelajaran yang sihat
  • Kemahiran fizikal dan kecekapan intelektual
  • Memupuk perkembangan sosial dan emosional dan menyediakan bimbingan
  • Memantapkan hubungan positif dan produktif dengan keluarga
  • Memastikan perjalanan program lancar, berfaedah dan bertanggungjawab kepada keperluan mereka yang terlibat dan
  • Mengekalkan komitmen kepada profesionalisme.
Berdasarkan kenyataan di atas peranan guru Head Start lebih menyeluruh daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah keluarga dan komuniti. Guru juga berperanan untuk mengenal pasti kelewatan pencapaian kanak-kanak menerusi intervensi. Langkah ini diambil bertujuan untuk meningkatkan pencapaian kanak-kanak dan mengatasi masalah yang dihadapi daripada berbagai aspek.

0 comments:

Post a Comment

 

♥My Heart Beats For Kids♥ Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Emocutez